MIRI, 5 Mac: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Bahagian Miri menganjurkan Bengkel Membuat Kek Gulung Sarawak 2023 untuk golongan belia bagi membuka peluang perniagaan kepada mereka menjelang bulan Ramadan dan bulan Syawal ini.
Wakil Residen Bahagian Miri, Rafiq Azli Ramli menggalakkan belia menjadikan kek perayaan semasa seperti kek gulung Sarawak sebagai produk komersial sebagai sumber pendapatan melalui jualan di bazaar ataupun atas talian.
“Objektif Bengkel Membuat Kek Gulung Sarawak 2023 adalah untuk memberi pengetahuan dan kemahiran asas kepada belia di Bahagian Miri cara pembuatan kek perayaan semasa, kek beranyam Sarawak dan kek gulung Sarawak yang boleh dikomersialkan sebagai sumber pendapatan Hari Raya 2023. Tidak lama lagi kita akan masuk ke bulan puasa dan raya. Jadi ambillah peluang untuk berniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Rasmi Youth Got Skills @ Miri (Bengkel Membuat Kek Gulung Sarawak 2023) semalam.
Malahan tambahnya, bengkel sebegini juga dapat memenuhi permintaan tinggi untuk makanan halal di dalam pasaran sedia ada apabila belia melengkapkan diri dengan kemahiran membuat kek untuk musim perayaan.
“Selain itu, program ini juga memberi motivasi dan informasi kepada belia di Bahagian Miri cara pembuatan kek-kek yang mendapat permintaan yang tinggi pada masa kini dan perkongsian ilmu langkah-langkah memulakan perniagaan,” tambahnya lagi.
Bengkel ini merupakan inisiatif MYSED dengan kolaborasi Persatuan Belia Miri sebagai platform untuk para belia mengetengahkan bakat, selain melahirkan belia yang kreatif dan berkemahiran tinggi dalam mengetengahkan produk tersendiri di dalam pasaran.
Seramai 28 peserta menyertai bengkel itu, pihak MYSED berharap agar mereka dapat menjana pendapatan melalui pembuatan kek gulung Sarawak sekali gus meningkat ekonomi keluarga dan masyarakat setempat. – TVS