KUCHING: 4 FEB: Sarawak terus mencatatkan peningkatkan ikrar derma organ tahun lepas iaitu seramai 2,285 pengikrar baharu berbanding 269 orang pada tahun 2021.
Peningkatan amat ketara itu namun menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika ini hanya 0.5 peratus populasi rakyat Sarawak yang berikrar.
Justeru itu, beliau berharap peningkatan terus menjadi trend tetapi dinasihatkan mereka yang lain ingin berikrar selepas ini harus berbincang terlebih dahulu dengan ahli keluarga.
“Sebagai tanda sokongan positif pengikrar perlu berbincang terlebih dahulu bersama ahli keluarga sebagai penderma organ untuk mendapatkan kebenaran waris,” katanya.
Fatimah memberitahu pihak Unit Perolehan Organ Hospital hanya akan menghubungi Pusat Sumber Transplan Nasional jika terdapat kes rujukan penderma organ berpotensi iaitu disyaki kematian otak atau telah disahkan kematian jantung terhenti.
“Oleh itu, pengikrar perlu berbincang dan maklumkan hasrat murni mendaftar sebagai pengikrar penderma organ kepada waris agar mereka mengetahui perkara ini lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” ujarnya.
Pada 6 September 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Ikrar Penderma Organ digital di aplikasi MySejahtera. – TVS