Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Buah sawit. Foto: Bernama.

Rundingan M’sia – Thailand bagi CPOPC dimuktamadkan selepas pilihan raya Thailand – Fadillah

ByBernama

KUCHING, 4 Mac: Malaysia akan memuktamadkan rundingan dengan Thailand untuk bersama-sama menjadi ahli Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) selepas negara berkenaan selesai mengadakan pilihan raya umum, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, setakat ini Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menjadi ahli CPOPC yang bertujuan menyuarakan isu halangan perdagangan yang diskriminatif terhadap negara pengeluar minyak sawit dan getah ke peringkat Asean.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berucap ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia membincangkan industri sawit dalam siri lawatan rasminya ke Jakarta pada 9 Februari lalu. Foto: Bernama.

“Tarikh untuk ke Thailand bagi membincangkan hal itu belum ditetapkan lagi kerana lebih sesuai untuk tunggu selepas pilihan raya selesai…sekiranya ada pertukaran (kerajaan), risau ia tidak memuktamadkan apa yang kita telah rundingkan,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Juh Bekpes’ bersama belia di sini hari ini.

Fadillah pada 28 Februari lepas berkata, Malaysia telah mempelawa Thailand untuk bersama-sama menjadi ahli CPOPC memandangkan suara mengenai isu negara pengeluar minyak sawit dan getah akan menjadi lebih besar dan lantang sekiranya Malaysia, Indonesia dan Thailand bergabung.

Mesyuarat Menteri CPOPC akan diadakan pada Mei yang menyaksikan Malaysia sebagai pengerusi pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, tahap kemasukan pekerja asing ke Malaysia semakin baik dengan hampir 80 peratus kapasiti syarikat sudah dipenuhi di seluruh negara susulan dasar yang dilaksanakan kerajaan bagi memudah cara kemasukan pekerja asing.

Bagaimanapun, menurutnya Sarawak masih menghadapi masalah membawa masuk pekerja Indonesia ke negeri itu.

“Pekerja Indonesia yang hendak masuk ke sini ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Oleh itu, mereka (Indonesia) tidak membenarkan pekerjanya masuk ke Sarawak. Bagi menyelesaikan masalah ini, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk melihat kaedah bagi memudahkan kemasukan mereka,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan