LIMBANG, 4 Mac: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kementeriannya tiada menerima rekod rakyat Malaysia yang disaman di Brunei Darussalam berhubung kesalahan tidak melekat cukai jalan di kenderaan persendirian.
Ekoran itu beliau menepis dakwaan yang ditular di media sosial susulan terdapat rakyat Malaysia (Limbang) yang disaman berjumlah 70 Brunei Dollar kerana kesalahan terbabit ketika melalui negara jiran itu.
Menurut beliau, hasil perbincangan bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bersama duta di Brunei mendapati bahawa tiada rekod rakyat Malaysia yang disaman di negara berkenaan.
“Saya mengarahkan Ketua Pengarah JPJ Malaysia untuk berbincang dengan duta (Brunei), memang betul tiada rekod sebagaimana yang disuarakan oleh duta kepada saya, dia menelefon saya di Putrajaya bahawa tiada rekod dalam negara tersebut bahawa, ada orang (rakyat Malaysia) yang telah disaman.
“Jadi sebab itu saya risau apabila kita menerima aduan kena saman 70 dollar, kita jangan cepat-cepat percaya,” katanya ketika berucap pada Program JPJ Bersama Anda (Ketua-Ketua Masyarakat) di Dewan KEMAS di sini, hari ini.
Turut sama ialah Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili dan Ketua Cawangan JPJ Limbang, Abang Aien Abang Bolhil.
Ahli Parlimen Limbang itu turut berharap masyarakat khususnya di Limbang tidak menyebarkan sebarang isu berkaitan saman yang tidak sahih melalui media sosial.
Katanya ia penting dalam menjaga hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin antara Malaysia dan Brunei khususnya melibatkan perkongsian sempadan antara kedua-dua negara.
Jelasnya meskipun pihaknya menerima aduan daripada mereka yang mendakwa di saman, namun apabila ditanya mereka gagal menunjukkan resit saman sebagai bukti mereka disaman.
“Tapi betul atau tidak, bila minta resit, dia cakap tak ada, orang kena saman, mesti ada resit, carilah polis satu dunia, penguatkuasaan pun satu dunia, bila kita kena suruh bayar mesti ada resit,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai program tersebut katanya ia platform terbaik kepada masyarakat untuk menyuarakan masalah yang dihadapi selain mendapatkan maklumat tepat mengenai perkhidmatan JPJ.
Katanya aduan masyarakat yang diterima perlu dijadikan sebagai pencetus ke arah peningkatan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik.
Malah jelasnya maklum balas yang diterima masyarakat perlu dijadikan penanda aras untuk meningkatkan kerjasama membentuk negara maju tanpa meminggirkan kebajikan rakyat. – TVS