LUNDU, 04 Mac: Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan pendekatan tambahan berhubung menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk Sarawak pada masa akan datang.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ia bagi memastikan pembangunan di kawasan luar bandar negeri ini dapat dilaksanakan seperti di negeri-negeri lain.
“Kerana kita agak ketinggalan sedikit dari segi infrastruktur asas bekalan elektrik dan bekalan-bekalan air. Ini yang sedang yang sedang kita usahakan.
Jadi melalui Belanjawan yang telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, harapan kita pada masa akan datang ia dapat dilaksanakan dengan segera, untuk memastikan bahawa ada bahagian-bahagian yang masih tertinggal dapat kita laksanakan.”
“Namun demikian kita akan berusaha untuk memastikan bahawa peruntukan tambahan ataupun peruntukan-peruntukan lain disalurkan ke Sarawak pada masa-masa yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penangguhan Program Literasi Media Kreatif bagi mewakili Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dewan Mahligai Gading, Lundu di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, sejak tahun 2017 dan tahun 2018, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyediakan dana yang besar untuk pembangunan utiliti dan telekomunikasi di Sarawak. – TVS