SIBU, 3 Mac: Kemudahan Taman Selera Muhibbah dinaik taraf kepada lebih mesra orang kurang upaya (OKU) dan golongan warga emas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasaran dan Peniaga Kecil, Kaunselor Albert Tiang, inisiatif berkenaan akan memudahkan golongan istimewa di sini menjamu selera di Taman Selera Muhibbah.
“Perniagaan telah mula beroperasi pada 2 Mac dan pembukaan rasmi dijadualkan pada 17 Mac dan ia dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang,” katanya kepada TVS hari ini.
Dalam pada itu, seiring dengan keperluan semasa, medan selera tersebut kata Albert juga akan dilengkapi liputan Wifi percuma mulai April ini.
“Pelanggan yang berkunjung ke Taman Selera Muhibbah di sini bukan sahaja boleh menikmati selera di tempat yang baru dinaik taraf, malah akan mendapat liputan Wifi percuma, ihsan Majlis Perbandaran Sibu kelak,” ujarnya.
Selain itu, kata Albert perubahan ketara di medan selera tersebut sebelum ini adalah dengan mengamalkan konsep layan diri iaitu pelanggan akan membuat pesanan mereka sendiri tanpa pelayan.
Namun menerusi konsep berkenaan, beliau menasihatkan para peniaga di situ untuk meningkatkan sistem operasi perniagaan mereka terutama dalam menyediakan makanan dan minuman secara lebih pantas, efisien dan berkualiti bagi menggelakkan pelanggan berbaris panjang.
Terdapat 50 gerai di medan selera berkenaan iaitu 17 gerai minuman dan 33 gerai makan.