LARISSA (Greece), 2 Mac: Satu kemalangan maut membabitkan sebuah kereta api penumpang dan sebuah tren kargo berlaku berhampiran bandar Larissa di Greece pada malam Selasa.
Memetik laporan Reuters, kereta api penumpang yang dilaporkan membawa 250 penumpang dalam perjalanan dari ibu kota Athens ke Thessaloniki di utara, manakala tren kargo menuju ke arah bertentangan.
Anggota penyelamat tempatan berkata, mereka perlu menggunakan kren dan jentera berat lain untuk mengalih gerabak-gerabak yang remuk dan banyak mayat serta cebisan badan ditemui.
Baca artikel berkaitan > > > Angka korban nahas kereta api di Greece meningkat 57 orang
Sehingga tengah hari tadi, sekurang-kurangnya 38 orang dilaporkan terkorban dan lebih 50 mangsa masih dirawat di hospital, lapor Reuters.
Mangsa yang terselamat dalam nahas itu turut memberitahu, apa yang mereka ingat hanyalah kereta api itu berhenti berderit, sebelum bertembung dan terbakar.
“Semua orang panik…kebakaran berlaku serta-merta. Kami juga terbakar, dan api di kanan dan kiri,” kata Stergios Minenis, 28 tahun menerusi Reuters.
Media tempatan Greece menyifatkan nahas itu sebagai kemalangan kereta api terburuk sekali dalam sejarah negara itu.
— Greece in Strasbourg (@GRinStrasbourg) March 1, 2023
Berikutan insiden tersebut, Menteri Pengangkutan Greece, Kostas Karamanlis, mengambil tanggungjawab penuh berhubung tragedi itu dan meletak jawatan.
Pihak berkuasa tempatan turut menahan ketua stesen di perhentian terakhir kereta api itu di bandar Larissa kerana pada dasarnya, ketua stesen bertanggungjawab menyelia bagi memastikan kereta api berada di landasan yang sepatutnya. – TVS