KUCHING, 2 Mac: Agensi pelaksana diarahkan memantau projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang mengalami kelewatan kritikal iaitu 42 peratus daripada jadual asal, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir Aidel Lariwoo.
Menurut beliau projek bernilai RM 98.5 juta yang dilancarkan pada 24 November 2019 lalu sepatutnya siap pada Jun tahun ini.
“Ini kali ketiga kita melawat Jambatan Batang Rambungan dan kita dapati kemajuan pelaksanaannya begitu perlahan.
“Sepatutnya siap pada Jun tahun ini, namun situasi semasa menyaksikan ia dijangka siap pada hujung tahun 2024,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Jambatan Batang Rambungan di sini, hari ini.
Aidel memberitahu pihaknya telah mengarahkan agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memantau projek terbabit secara dekat pada setiap minggu untuk memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut sasaran masa yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Aidel memberitahu, projek pembinaan Jambatan Rambungan amat penting susulan ia menghubungkan jalan dari kawasan Rambungan, Sempadi dan Lundu, sebagai satu jalan pesisir.
“Lapan Jambatan yang kecil-kecil di sini dan sebelah sempadan Lundu telah siap, hanya tinggal Jambatan Batang Rambungan, jadi laluan jalan pesisir tidak akan lengkap tanpa siapnya Jambatan Rambungan, “ jelasnya.
Menjawab pertanyaan pemberita berhubung punca kelewatan projek itu, ujar Aidel, kekurangan tenaga kerja dan kaedah pelaksanaan projek dikenal pasti menjadi faktor utama kelewatan projek tersebut.
“Kita telah mengarahkan kontraktor untuk melaksanakan strategi tertentu untuk mempercepatkan pembinaan dua batang tiang besar di tengah-tengah sungai ini seterusnya baharu kita akan dapat melihat kemajuan projek ini yang lebih baik, “ ujarnya.
Sehubungan itu, Aidel memberitahu, selepas ini pihaknya akan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pemaju bagi memastikan Jambatan Rambungan dapat disiapkan secepat mungkin.
Sebelum ini, pada 6 Disember 2022, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pernah memberi amaran kepada pihak kontraktor yang membina Jambatan Batang Rambungan untuk menyelesaikan segera masalah aliran tunai dan isu kekurangan pekerja yang dihadapi mereka susulan kelewatan dialami projek tersebut selama hampir tiga tahun.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan. -TVS