KUALA LUMPUR, 2 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan Sarawak memerlukan peruntukan sebanyak RM19 bilion bagi menyalurkan bekalan air bersih yang menyeluruh di negeri itu.
Dr Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak – Betong) berkata, kos yang tinggi itu berikutan keluasan Sarawak serta bentuk muka bumi yang mencabar.
Katanya, sehingga kini liputan air bersih di Sarawak hanya mencapai 67.2 peratus.
“(Ketika ini) agihan belanjawan untuk infrastruktur asas Sarawak seperti bekalan air, elektrik, jalan dan lampu jalan hanya berjumlah RM2.5 bilion.
“Sehubungan itu, saya memohon agar agihan belanjawan yang lebih besar disediakan untuk Sarawak,” katanya pada Sidang Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, Richard juga meminta kerajaan supaya mengurangkan karenah birokrasi untuk memudahkan penyaluran bantuan kepada Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Katanya, bantuan berkenaan sangat diperlukan oleh PMKS bagi memulihkan perniagaan mereka susulan impak pandemik COVID-19.
“Permohonan dan kelulusan selalunya melibatkan proses yang panjang dan menyusahkan malah kadang-kadang ia terlalu rumit,“ katanya.
Katanya, proses berkenaan juga membantutkan banyak perniagaan sedangkan bantuan yang disediakan kerajaan seharusnya menjadi inisiatif yang baik namun gagal dalam aspek perlaksanaan. -TVS