BINTULU, 2 Mac: Mayat seorang remaja lelaki yang lemas ketika mandi sungai bersama rakan-rakan di jeti Kampung Rasan Tubau petang Rabu ditemui hari ini.
Mayat Darrylsyivister Stella, 15, ditemui oleh anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu pada 11.00 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Timbalan Penguasa Bomba 1, Christus Buson berkata mangsa ditemui oleh anggota PPDA yang membuat selaman pertama pada kedalaman 2.4 meter berhampiran jeti mangsa dilaporkan terjun.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke daratan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjut,” katanya.
Dengan penemuan mangsa, operasi penyelamat ditamatkan pada 11.30 pagi.
Pada petang Rabu, mangsa bersama rakan-rakan dikatakan mandi-manda di kawasan sungai berhampiran jeti namun mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang terjun ke dalam sungai sedalam 3.6 meter dan tidak timbul selepas itu.
Seramai enam anggota bomba dari BBP Bintulu dan dibantu oleh tujuh anggota polis terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. – TVS