MATU, 2 Mac: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun yang terjatuh di Sungai Ilas, dekat sini pada Selasa dijumpai penduduk kampung pada 6.15 petang, Rabu.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan (DSP) Neil Beginda berkata, mayat kanak-kanak berkenaan dijumpai penduduk kampung pada jarak 200 meter dari lokasi tempat mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, ibu mangsa keluar membeli sayur dan anaknya ditinggalkan bermain seorang diri di ruang tamu kediaman mereka di sebuah rumah panjang di Sungai Ilas.
“Mangsa disedari hilang oleh ibunya setelah mendapati anaknya tidak ada di dalam rumah sekitar jam 4.30 petang Selasa,” katanya menerusi satu kenyaataan media hari ini.
Susulan itu, katanya ibu mangsa telah membuat laporan polis dan operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan melibatkan lebih kurang 80 orang dan 40 perahu penduduk rumah panjang.
“Semasa operasi pencarian dijalankan, seorang penduduk kampung telah menjumpai objek terapung disyaki mayat manusia di kawasan jarak lebih kurang 200 meter dari jeti rumah Raya,” katanya.
Neil berkata, mayat mangsa telah dicam oleh ibu mangsa dan diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan enam anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Matu.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – TVS