Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya merasmikan Jelajah Integriti 2023 di Dewan Suarah Bau pada Khamis. Foto TVS.

Lapor segera jika tidak puas hati perkhidmatan kerajaan

BAU, 2 Mac: Sebarang kepincangan dalam pentadbiran kerajaan perlu dilapor segera kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.

Menurutnya, langkah ini adalah untuk memastikan agensi dan jabatan kerajaan memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada rakyat.

Semua aduan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan International Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal, jelasnya.

“Ombudsman adalah suatu sistem untuk menerima aduan awam atau cadangan awam yang datang daripada individu berkaitan tentang perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan.

“Maksudnya kalau anda merasakan tidak berpuas hati dengan agensi kerajaan, pegawai, perkhidmatan, anda boleh membuat aduan. Tidak puas hati tentang pentadbiran anda mesti membuat aduan dan kita akan menilai dan menguruskan aduan tersebut mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Integriti 2023 di Dewan Suarah Bau di sini pada Khamis.

Juanda berkata lagi, Kerajaan Sarawak sebenarnya telah membuka ruang seluas-luasnya untuk masyarakat umum memberi pandangan yang konstruktif tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Platform ini katanya wajar dimanfaatkan oleh orang ramai dengan menyalurkan atau membuat aduan ke UNIONS.

“Kalau ada kepincangan pentabdiran kerajaan, sila beri pandangan yang konstruktif atau membina tetapi bukan fitnah, rekaan atau kerana cemburu.

“Sekiranya ia berkaitan isu fizikal, aduan yang dibuat boleh disertakan dengan gambar sebagai bukti, ini kerana di UNIONS, kita akan memanggil pihak berkenaan untuk siasatan dan sebagainya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan