MIRI, 2 Mac: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pihak swasta yang menawarkan pengajian perkapalan bagi meningkatkan pembangunan industri perkapalan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata industri perkapalan di dalam dunia maritim merupakan nadi ekonomi dunia, maka pekerja yang berkemahiran dan berdaya saing amat diperlukan.
“Kerajaan Sarawak sememangnya menyokong pihak swasta dalam menawarkan pengajian perkapalan sama ada di bahagian dek ataupun enjin kerana ia dapat meningkatkan kadar pembangunan industri perkapalan.
“Sudah tentu kemahiran adalah sesuatu yang penting supaya kita akan lebih berdaya saing. Dari segi peluang dalam industri ini begitu besar, terutama yang ditawarkan dalam dunia maritim,” katanya pada Majlis Tamat Latihan Pelatih Marine Rating anjuran Pusat Latihan Maritim Pelita Mas Laut Sdn Bhd (PMSB) di sini, hari ini.
Selain itu, beliau melihat usaha PMSB dalam melahirkan pelaut berkualiti dan produktif dapat menyelesaikan masalah kekurangan pelaut tempatan dan menampung permintaan industri perkapalan di dalam dan luar negara sekali gus mengurangkan kedatangan pelaut-pelaut asing bekerja di Sarawak.
Jelas beliau lagi, Yayasan Sarawak juga memberi kerjasama dengan PMSB melalui tajaan biasiswa kepada anak tempatan yang menyertai kursus di PMSB bagi meningkatkan kemahiran mereka di dalam bidang latihan dan bidang teknikal.
“Pentingnya kita meningkatkan kemahiran bagi membangunkan modal insan. Kita mahukan pekerja berkelayakan dan terlatih agar dapat menggunakan teknologi yang digunapakai pada masa ini dan akan datang.
“Mereka (Yayasan Sarawak) memberitahu saya untuk meningkatkan lagi dalam bidang latihan dan bidang teknikal seperti ini. Yayasan Sarawak akan terus memberi sokongan dan dorongan serta terus meningkatkan kerjasama dalam melahirkan pelaut-pelaut yang terlatih,” katanya lagi.
Seramai 46 pelatih yang telah menamatkan Kursus Marin Rating PMSB iaitu 23 pelatih di bawah latihan Marine Engineering Rating dan 23 pelatih di bawah latihan Maritime Deck Apprentice.
PMSB telah ditubuhkan pada Februari 2000 oleh pengasasnya, Masni Amit dengan tiga cawangan di Sibu, Miri dan Kota Kinabalu dalam menyediakan latihan keselamatan dan perundingan untuk pelbagai industri, terutamanya dalam industri maritim dan industri minyak dan gas. – TVS