KUCHING, 2 Mac: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian secara holistik bagi membina sistem pengairan yang berkesan dalam usaha menangani masalah banjir di negeri ini, termasuk kawasan Batu Kawa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian akan dijalankan secara berperingkat di seluruh negeri melibatkan kawasan yang berisiko banjir.
“Namun ia akan dijalankan secara berfasa kerana saya percaya pelaksanaannya membabitkan dana yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu Kawa, di sini hari ini.
Memetik contoh melihat kepada keberkesanan sistem pengairan yang dilaksanakan di Belanda, Abang Johari optimis kaedah serupa akan dibangunkan di Sarawak.
“Kalau Belanda yang buat mesti sistemnya bagus. Kalau sistemnya kita dapat guna pakai di Sarawak, kita akan buat secara berperingkat,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, berhubung PPS Batu Kawa, secara keseluruhan Abang Johari berpuas hati terhadap pengoperasiannya.
“Saya sangat berpuas hati, makanan cukup dan tempat mereka selamat. Itu yang penting,” katanya.
Abang Johari turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan amaran hujan berterusan sehingga 15 Mac ini, serta bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan seperti menghubungi agensi-agensi penyelamat atau ketua-ketua masyarakat bagi mengelak sebarang musibah. – TVS