Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melancarkan Parti Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini. Foto: CMO Sabah.

Hajiji lancar Gagasan Rakyat Sabah, dukung agenda ‘Sayangi Sabah’

KOTA KINABALU, 2 Mac: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini melancarkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Hajiji yang juga presiden Gagasan Rakyat berkata parti ini ditubuhkan dengan tujuan memperkukuhkan perjuangan rakyat sebagai satu jajaran lokal dan berpandukan formula tempatan.

Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika melancarkan Gagasan Rakyat Sabah, hari ini. Foto: CMO Sabah.

“Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah Solidariti Suara Sabah akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendukung agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan ‘Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United’.

“Saya yakin, solidariti akan menjadikan suara Sabah lebih kuat dan berkesan. Kita kuat apabila kita bersatu. Kita akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu.

“Permuafakatan Gagasan Rakyat Sabah bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Tambah Hajiji berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.

“Kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana kita perlu hidup dalam ekosistem persekutuan dalam sebuah negara. Namun daripada segi kerangka tadbir urus negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal.

“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi. Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen penting agenda nasional.

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih holistik merangkumi segenap aspek,” katanya.

Beliau memberitahu Gagasan Rakyat merupakan parti yang memiliki paling ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah iaitu 25 orang ADUN termasuk lima bekas ADUN UMNO dan empat bekas Adun Warisan yang mengumumkan keluar parti.

Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multi-parti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan