KUCHING, 2 Mac: Satu transaksi berjumlah RM1.03 juta berjaya disekat oleh pihak bank telah menyelamatkan seorang lelaki menjadi mangsa sindiket Macau Scam, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, hasil siasatan pihaknya dengan kerjasama bank berkenaan telah berjaya mengesan transaksi sebelum dimasukkan ke akaun bank suspek.
“Setelah menerima laporan polis daripada mangsa pada 26 Februari lalu, bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching memulakan siasatan dengan mengesan transaksi yang dibantu oleh pihak bank.
“Siasatan mendapati wang masih dipegang oleh bank berkenaan dan belum dimasukkan ke dalam akaun suspek yang memudahkan bank untuk menyekat transaksi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan telah dihubungi suspek yang mendakwa dirinya pegawai dari perkhidmatan pos.
Suspek menghubungi mangsa mengatakan terdapat bungkusan yang ingin dihantar ke rumah lalu meminta ‘kata laluan sekali guna’ (OTP) yang diterima namun mangsa tidak mengendahkannya.
“Suspek menghubunginya sekali lagi dan mengarahkan mangsa untuk menyemak akaun bank miliknya. Semakan mendapati wang dalam akaun simpanan berkurangan dan transaksi ke atas kad kredit mangsa telah dilakukan,” katanya.
Jelasnya, kes masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sarawak.
Sementara itu, polis daerah Kuching mencatatkan lima kes penipuan Macau Scam dengan kerugian RM1.136 juta setakat Februari 2023.
Manakala, enam kes penipuan dengan kerugian hampir RM77,400 pada 2022.
Ahsmon berkata modus operandi yang digunakan oleh kebanyakan suspek adalah ‘tersilap’ hantar Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada mangsa dan meminta mereka untuk membacakan nombor yang telah dihantar.
Nombor-nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi mangsa adalah didaftarkan atas nama warganegara asing.
Orang ramai dinasihati untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk mendapatkan bantuan lanjut berkaitan kes penipuan Macau Scam. – TVS