KUALA LUMPUR, 2 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menghantar pasukan sokongan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri yang terjejas banjir.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pasukan yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu antara lain akan menyediakan perkhidmatan intervensi krisis dan sokongan psikologi kepada mangsa terjejas.
“Sokongan ini diberikan semasa dan selepas bencana agar psikologi mangsa yang terjejas berikutan bencana itu akan kembali ke tahap optimum,” katanya kepada TVS di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Situasi banjir di lima negeri bertambah buruk petang ini apabila seramai 29,091 mangsa dipindahkan di lima negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka.
Johor paling teruk terjejas berikutan jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 26,633 orang di 193 PPS setakat pukul 4 petang tadi.
Sementara itu, Nancy memaklumkan KPWKM juga telah menghantar bantuan makanan dan barangan kebersihan diri kepada mangsa banjir di Johor.
Katanya, JKM Johor setakat ini telah menyalurkan 1,400 peket makanan sedia dimasak dan barangan keperluan bencana serta 1,000 pek kit kebersihan sumbangan Yayasan Sime Darby.
“Semua mangsa di negeri – negeri yang terlibat dengan musibah banjir telah diberikan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi. Penambahan bekalan akan dilakukan sekiranya situasi memerlukan,” katanya. -TVS