LIMBANG, 1 Mac: Helah seekor ular tedung menyorok di bawah peti sejuk di dapur sebuah rumah penduduk di perumahan Rangau di sini terbongkar.
Reptilia berwarna hitam itu berjaya ditangkap pasukan bomba sejurus dihubungi penghuninya yang menyedari lokasi ular berkenaan menyorok.
Menurut, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, kejadian jam 9 pagi ini disedari penghuni rumah tersebut.
Sebaik menerima panggilan berhubung kejadian, kata Ramlan sepasukan anggota dikerah ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Anggota bertindak menangkap ular tersebut menggunakan peralatan khas penjerut ular sebelum dilepaskan ke habitat asalnya yang jauh dari kediaman penduduk.”
“Setelah memastikan keadaan selamat anggota bertolak balik ke balai jam 9.31 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini. – TVS