LUNDU, 1 Mac: Tiada alasan untuk tidak menyambung projek yang berada di belakang jadual akibat pandemik COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, ketua-ketua masyarakat perlu melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya mengesyaki terdapat projek lembab.
“Adalah menjadi tanggungjawab ketua-ketua masyarakat untuk melaporkan kepada agensi berkaitan untuk memastikan semua projek berjalan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
“Kita sedia maklum bahawa tahun 2020, 2021 dan 2022, banyak projek terkesan akibat pandemik COVID-19, jadi sememangnya kita akan melihat beberapa projek sedikit lambat tetapi ia bukan satu alasan untuk projek-projek tersebut tidak dilaksanakan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jelajah Integriti (Daerah Lundu) Siri 1/2023 Bahagian Kuching di sini, hari ini.
Selain itu, beliau turut berharap agar semua ketua masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam memantau segala aktiviti dan projek di kawasan Lundu.
Jelasnya, ia penting agar semua projek-projek yang dilaksanakan berjalan lancar, selain tidak bermasalah serta memanfaatkan segenap masyarakat.
“Semua pemimpin masyarakat harus peka dengan masalah masyarakat di kawasan kita. Kalau ada jenayah, jangan takut untuk laporkan.
“Saya percaya kerajaan amat komited untuk membentuk budaya masyarakat berintegriti yang meliputi semua peringkat,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Dr Juanda Jaya, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Semawi Mohamad dan Penolong Pegawai Daerah Lundu, Zulkipli Morshidi. -TVS