MIRI, 1 Mac: Sebuah rumah panjang perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang graduan dalam kalangan penghuni mereka. Begitulah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, apabila menekankan kepentingan anak-anak Sarawak untuk mendapat pendidikan yang baik.
“Kita mempunyai kawan di rumah panjang, mereka berkata setiap rumah panjang mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang graduan. Itu sasaran mereka. Saya rasa banyak rumah panjang dan ada ramai graduan sudah. Jadi saya rasa itu penting. Kita semua di sini sebagai ibu bapa, perlu memastikan anak-anak kita mesti mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan yang baik. Kita akan bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Malam Penghargaan Media 2023 di Hotel Dynasty semalam.
Tambah beliau, selaras dengan kehendak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahukan setiap individu mendapat peluang pendidikan yang terbaik, kerajaan akan menawarkan biasiswa kepada para pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
“Pendidikan sangat penting. Kita mesti memastikan anak-anak kita berpeluang untuk mendapat pendidikan yang terbaik. Itu juga selaras dengan kehendak Premier Sarawak kita. Beliau telah menyebut beberapa kali iaitu beliau ingin anak-anak kita pergi ke universiti secara percuma. Semua akan mendapat biasiswa yang diberikan oleh kerajaan kita,” katanya lagi.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) sebagai tanda penghargaan kepada para wartawan menggunakan platform media untuk menyebarkan berita dan mengeratkan hubungan bersama.
Pada masa yang sama, majlis juga menyaksikan penyerahan insentif pendidikan kepada 10 orang anak ahli NSJA yang memperoleh kecemerlangan di dalam akademik dan kokurikulum pada tahun 2021. – TVS