PAKAN, 1 Mac: Peranan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) terus relevan sebagai medium penyatuan pelbagai kaum di Sarawak.
Naib Presiden Saberkas, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Abdul Rauf berkata, Saberkas memberi sumbangan besar terhadap pembangunan belia selain menzahirkan ramai pemimpin yang berwibawa sejak penubuhannya 50 tahun lalu.
“Kita lihat sepanjang kita mengadakan program bukan sahaja untuk 50 tahun sebelum ini, kita melihat penglibatan golongan belia amat menggalakkan. Sebagai contoh, penglibatan pelajar dari Kolej Komuniti dalam Program Bubur Lambuk yang setiap tahun diadakan.
“Penglibatan daripada golongan muda dan golongan sedia ada yang bergabung untuk melaksanakan dan menjadikan program itu dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Presiden Saberkas Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Majlis Sumbangan Saberkas Prihatin Khas di PPDK Pakan semalam.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, pelbagai pendekatan akan terus dilaksanakan bagi mendekatkan Saberkas dengan masyarakat khususnya golongan belia.
Malah ujarnya, komitmen tinggi Ahli Jawatankuasa menjadikan Saberkas kekal aktif sehingga berjaya menarik orang muda menyertai pertubuhan itu.
“Memang kita merekrut ahli-ahli baru untuk menyertai Saberkas. Kita melihat sebanyak 53,000 ahli baru didaftarkan. Sempena Sambutan Jubli Emas Saberkas yang ke-50 tahun, kita akan mengadakan banyak program termasuklah membuka satu gerai untuk mereka datang mendaftarkan diri sebagai ahli Saberkas yang mempunyai banyak manfaat,” katanya lagi.
Saberkas melaksanakan lonjakan yang terbaik dalam usaha memartabatkan golongan belia Sarawak sekali gus menjadikan mereka sebagai generasi muda yang lebih berkarisma.-TVS