KUALA LUMPUR, 1 Mac: Kementerian Kewangan disaran menyediakan peruntukan khas untuk membaiki jalan raya yang rosak di kawasan luar bandar di seluruh negara.
Dato Anyi Ngau (Gabungan Parti Sarawak – Baram) berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan, ia akan membantu penduduk di kawasan pedalaman menerima akses perhubungan yang lebih baik.
Kata beliau, mengambil contoh di kawasannya, jalan raya yang baik seperti dinikmati penduduk di bandar ‘masih terlalu jauh untuk dilihat’.
“Saya dengar (sejak) beberapa hari sesi bahas berlangsung, kita bercakap mengenai lebuh raya dua hingga tiga lorong, hari ini saya ingin katakan di pedalaman Sarawak, kita bercakap berkenaan jalan balak yang licin ketika hujan dan berdebu sewaktu musim kemarau.
“Inilah keadaan kita di Baram,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anyi berkata, sebelum ini jalan berkenaan akan dibaiki oleh syarikat balak namun tidak diteruskan menyebabkan jalan – jalan berkenaan terabai.
“Oleh itu saya ingin cadang dan rayu supaya Kerajaan Perpaduan supaya benar – benar melaksanakan (merapatkan jurang pembangunan kawasan bandar dan luar bandar) dan sekiranya mahu bina jalan baharu, kita (penduduk Baram) terima,” katanya.
Katanya, sekiranya perkara itu dilaksanakan, ia akan dapat digunakan supaya perhubungan kawasan bandar dan luar bandar.
“Orang sakit atau orang tua dapat pergi ke bandar untuk dapat kemudahan yang disediakan,” katanya. -TVS