LUNDU, 1 Mac: Matlamat Kerajaan Sarawak untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 bukan satu angan-angan kosong, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Dr Juanda Jaya.
Beliau berkata, kerajaan telah, sedang dan bakal melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha hebat bagi merealisasikan perkara itu, namun penglibatan rakyat juga diperlukan dalam hal ini.
“Yang disebut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa masa depan Sarawak ini cerah bukanlah satu omong kosong.
“Usaha telah dilakukan (kerajaan) tetapi pada masa sama, kita mahu rakyat memahami perkara ini dengan membantu kerajaan menerap budaya dan nilai murni integriti,” ujarnya ketika berucap merasmikan Jelajah Integriti (Daerah Lundu) Siri 1/2023 Bahagian Kuching di sini, hari ini.
Dedah Juanda, satu sistem telah ditubuhkan Unit Integriti dan Ombudsman pada tahun lepas iaitu Community Integrity Building (CIB) yang berfungsi sebagai mata dan telinga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ujarnya, CIB telah dilancarkan pada tahun lepas dan dilaksanakan di lima PBT dan akan dikembangkan ke kawasan lain tahun ini.
“Komuniti CIB akan membantu PBT memantau kontrak-kontrak kecil yang dilaksanakan kontraktor untuk memastikan ia mengikut jadual,” jelas Juanda.
Turut hadir pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Semawi Mohamad dan Penolong Pegawai Daerah Lundu, Zulkipli Morshidi. -TVS