BINTANGOR, 1 Mac: Dua beradik berdepan detik cemas selepas kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka dihanyut arus deras ketika melalui Jalan Skim B, di sini, awal pagi tadi.
Insiden kira-kira jam 2.50 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 28 tahun itu dalam perjalanan menghala ke pekan Bintangor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, ketika melalui laluan yang sudah ditenggelami air enjin kereta mangsa mati manakala kedua-dua mangsa masih terperangkap di dalamnya.
“Mujur salah seorang daripada mereka bertindak pantas menghubungi pasukan keselamatan sebelum operasi penyelamatan berjaya dilakukan ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi TVS.
Beliau berkata, bomba menerima panggilan pada jam 2.53 pagi bergegas ke lokasi dan sempat memberi bantuan untuk mengeluarkan mangsa
Katanya, operasi menyelamat menggunakan tali untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan itu sebelum membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.
“Kedua-dua mangsa yang tidak mengalami kecederaan seterusnya menaiki kenderaan polis untuk ke pekan Bintangor,” ujarnya.
Sehubungan itu, Nicholas menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.- TVS