BINTANGOR, 1 Mac: Pasukan bomba menghantar tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan kediaman mereka dilanda banjir, hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung keperluan bantuan khas terbabit pada jam 7.05 pagi.
Sejurus itu, empat anggota diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin digerakkan ke lokasi di Rumah Panjang Rabong, Ulu Stras, Bintangor.
“Setibanya di lokasi pasukan bomba membantu tiga pelajar terdiri daripada seorang lelaki dan dua pelajar perempuan untuk menghadiri peperiksaan SPM,” menurut laporan PGO.
Terdahulu, BBP Bintangor turut membantu memindahkan penduduk di Rumah Panjang Micheal yang juga terletak di kawasan Ulu Stras setelah kediaman mereka dinaiki air sedalam empat kaki.
“Pihak kami menerima panggilan sekitar jam 5.56 pagi,” ujarnya.
Menurutnya, seramai 26 mangsa terkesan termasuk seorang bayi dilaporkan menunggu ketibaan bomba untuk membawa mereka keluar dari kawasan banjir.
“Kerja-kerja pemindahan dilakukan menggunakan bot penyelamat ke kawasan rumah berdekatan yang lebbig tingig serta pemasangan tali dari rumah yang banjir,” ujarnya sambal menambah setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka. -TVS