KOTA MARUDU, 1 Mac: Seramai 485 mangsa daripada 173 keluarga kini berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman masing-masing di daerah Kota Marudu dan Tongod terkesan oleh banjir, sejak Selasa.
Dua PPS itu membabitkan Dewan Komuniti di Kota Marudu (377 mangsa) dan Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod pula seramai 108 mangsa.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) berkata, PPS di Kota Marudu mula dibuka pada jam 10.30 pagi, dengan bilangan pecahan mangsa terdiri daripada 87 lelaki, 127 wanita dan 163 kanak-kanak dan bayi.
Sementara bagi PPS di Tongod pula mulai dibuka pada jam 5 petang yang menempatkan 30 lelaki, 37 wanita dan 41 kanak-kanak dan bayi.
“Tidak ada kemalangan jiwa direkodkan dalam kejadian banjir yang melanda kedua-dua daerah berkenaan setakat ini,” menurut kenyataan hari ini.
Sementara itu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah dalam kenyataan turut melakukan operasi membantu memindahkan 59 mangsa dari 20 keluarga yang terjejas banjir di Kota Marudu.
Menurutnya, panggilan kecemasan kejadian banjir diterima pada jam 11.07 pagi di dua kampung iaitu Kampung Kuranji dan Kampung Ongkilan Laut.
DIfahamkan operasi membantu mangsa terlibat ke PPS Dewan Komuniti Kota Marudu telah dilakukan pasukan bomba menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda.
“Pasukan bomba masih menjalankan pemantauan di sekitar kawasan terlibat dan maklumat akan dikemaskini dari masa ke masa,” kata kenyataan lagi.-TVS