GEORGE TOWN, 1 Mac: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera pada kepala akibat bergelut dan ditetak menggunakan pisau pemotong daging oleh seorang lelaki bermotosikal di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, polis yang berusia 29 tahun dikatakan cuba menahan suspek yang kelihatan mencurigakan sebelum lelaki itu bertindak agresif.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, anggota terbabit bersama seorang rakan telah mengekori suspek yang menunggang motosikal kira-kira 150 meter dari SJR itu selepas dia cuba melarikan diri.
Ujarnya, semasa ditahan, suspek berusia 33 tahun itu telah mencetuskan provokasi sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis berkenaan.
“Suspek kemudiannya dapat capai sebilah pisau yang didapati berdekatan tempat kejadian iaitu di atas meja dekat sebuah rumah, lalu menetak mangsa.
“Akibat kejadian itu, anggota terbabit mengalami keretakan pada tengkorak selain luka pada belakang dan depan kepala,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, lelaki itu telah melarikan diri sejurus kejadian tersebut, namun pihaknya berjaya menahan suspek kira-kira pukul 3.40 pagi di Pangsapuri Angsana, Ayer Itam.
“Polis menemui semula pisau tersebut yang bukan miliknya selain menemukan 30 paket disyaki dadah heroin yang berada dalam bungkusan hitam di atas motosikal.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang mempunyai empat rekod berkaitan dadah itu juga positif hasil ujian saringan air kencing,” katanya.
Suspek direman selama seminggu sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – TVS