PAKAN, 1 Mac: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) menyenaraikan sebanyak 727 program sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 pertubuhan itu.
Sebanyak tiga kluster utama bakal diberi penekanan antaranya sosial, pendidikan, latihan dan keusahawanan.
Naib Presiden Saberkas, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Abdul Rauf berkata, penganjuran bermula di peringkat negeri, cawangan hingga ke peringkat unit.
“Kita melibatkan pihak cawangan hingga ke peringkat unit supaya kita lebih rapat dengan mereka di peringkat akar umbi. Jadi, program-program yang dilaksanakan ini, kita akan bekerjasama dengan pihak cawangan dan unit di seluruh Sarawak. Jadi, pada tahun ini sempena Sambutan Jubli Emas ke-50, kita akan lebih banyak mengadakan program yang melibatkan golongan belia agar lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Presiden SABERKAS Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Sumbangan SABERKAS Prihatin Khas di PPDK Pakan semalam.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sumbangan Saberkas Prihatin Khas di Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) di Pakan merupakan salah satu daripadanya.
Antara lain, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan keprihatinan dalam kalangan belia dan masyarakat di samping menyuburkan semangat kebajikan.
“PPDK Pakan merupakan lokasi yang kedua kita mengadakan program ini di bawah Kluster Sosial Rekreasi dan Kebajikan Saberkas Negeri Sarawak. Pertama sekali kita mengadakannya di PPDK di Serian. Untuk makluman semua, Saberkas telah menyenaraikan sebanyak 727 program bersempena dengan 50 tahun Saberkas pada tahun ini,” katanya lagi.
Program Saberkas Prihatin Khas melibatkan penyampaian sumbangan kepada beberapa PPDK yang terpilih.-TVS