LIMBANG, 28 Feb: Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes ragut rantai emas milik seorang wanita warga emas dalam kejadian yang berlaku di Perumahan Batu Biah di sini, pagi tadi.
Beliau berkata, masyarakat sentiasa diingatkan agar berhati-hati dan waspada terhadap individu yang tidak dikenali di kawasan kediaman mereka.
“Jangan mudah percaya kepada orang yang tidak dikenali. Jika ada maklumat berkenaan kes ini diminta menghubungi segera Balai Polis Limbang,” katanya kepada TVS petang ini.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi hari ini seorang wanita warga emas mengalami kerugian hampir RM8,000 selepas rantai lehernya dilarikan seorang lelaki yang memasuki rumahnya.
Lelaki berkenaan yang memakai topi keledar berpura-pura mencari suami mangsa untuk meminta bantuan membaiki paip rumahnya dan kemudiannya ingin meminjam telefon bimbitnya kerana mendakwa kehabisan bateri telefon.
Mangsa yang dikenali sebagai Madam Liaw, 60 , tidak melayan pada mulanya dan lelaki itu kemudian menyembur racun serangga yang diletakkan di dalam rumah itu menyebabkan mangsa sedikit pening sebelum rantai emas di lehernya diragut dan lelaki itu bertindak melarikan diri.
Liaw berkata, dia tidak mengenali lelaki berkenaan dan tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangnya kerana motosikalnya diletakkan agak jauh dari rumah mereka, selain keadaan berlaku terlalu pantas.
Kejadian kecurian itu turut dikongsi dalam media sosial Facebook hari ini.- TVS