SIBU, 28 Feb: Tiga lelaki tempatan disyaki ‘tokan’ dadah berdepan hukuman gantung jika disabit kesalahan telah ditahan di Jalan Pahlawan di sini pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 32 tahun ditahan di dalam sebuah kereta sedan yang kelihatan mencurigakan di belakang bangunan sebuah hotel di lokasi tersebut pada jam 7.45 petang.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pasukan Narkotik IPD Sibu telah menemui dan merampas satu paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphatamine dengan berat keseluruhan 56.32 gram dengan nilai rampasan dadah semasa berjumlah RM5,600,” katanya.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamie dan Amphetamine.
“Untuk ini, mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Zulkipli mendedahkan semakan rekod polis juga mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai kes lampau berkaitan dadah.
“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 28 Feb hingga 6 Mac bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Jelasnya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit bersalah akan memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.
“Manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1) (a) akta yang sama, denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – TVS