KUCHING, 28 Feb: Sukan seni mempertahankan diri, silat kini setanding dengan sukan-sukan lain seperti taekwondo dan wushu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sukan tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari aspek pertahanan diri tetapi juga memartabatkan budaya dan warisan.
“Kepada anak-anak silat, pertahankanlah budaya ini secara profesional dan seterusnya buatlah latihan supaya anak-anak akan menjadi juara di peringkat antarabangsa.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada para perguruan silat khasnya di Sarawak yang sudah berkorban untuk meneruskan budaya silat di tanah air kita ini,” katanya berucap merasmikan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Perpaduan di sini pada malam Isnin (27 Feb).
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) Datuk Mohamad Yusnar Matalie dan Presiden Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnian Omardin.

Abang Johari berkata lagi, sukan silat tidak lagi layak digelar sukan ‘orang kampung’ kerana sukan tersebut terbukti diminati sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Sukan silat bukan sahaja satu sukan di negara Asia Tenggara tetapi juga menjadi satu acara di peringkat antarabangsa termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika.
“Kita akan mempromosikan sukan ini secara profesional agar ia dapat dimasukkan ke dalam Agenda Antarabangsa,” katanya.
Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 membariskan 500 pesilat yang terdiri daripada 21 kontinjen dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Belanda, Filipina, Indonesia dan Kyrgystan.
Mereka akan berentap merebut ganjaran USD 20,000 serta tali pinggang kejuaraan bermula 27 Februari sehingga 5 Mac. – TVS