KUALA LUMPUR, 28 Feb: Agenda reformasi institusi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan bertujuan untuk mencapai hasrat mewujudkan pilihan raya yang bebas, adil dan telus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu akan direalisasikan melalui pasukan khas yang telah ditubuhkan pada Januari lepas di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Kata beliau, pasukan khas itu mempunyai objektif untuk meneliti, mengkaji dan mencadangkan reformasi yang hendak dilaksanakan dan seterusnya dipertimbangan oleh Jemaah Menteri.
“Ini termasuk mekanisme pelaksanaan bahagian reformasi yang telah dan akan dicadangkan.
“Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan sistem dan pengurusan pilihan raya yang berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi yang diterima oleh semua pihak.
“Oleh demikian, Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) telah diwujudkan sejak 2018 untuk meneliti cadangan penambah baik sistem dan pengurusan pilihan raya di Malaysia bersama semua pemegang taruh,” katanya di Parlimen hari ini.
Ke arah itu katanya, Jawatankuasa Khas Kabinet juga telah diwujudkan pada tahun lepas bagi meneliti syor-syor dikemukakan ERC untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Sidang Parlimen turut dimaklumkan yang kerajaan juga sedang dalam usaha menambah baik dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
“Ini bagi memperkasakan akta tersebut dan merealisasikan visi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019- 2023 untuk mewujudkan negara bebas rasuah,” katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga dalam pelaksanaan reformasi insitusi parlimen untuk mengasingkan kuasa Legislatif dan Eksekutif.
“Beberapa kajian lain juga sedang dilakukan untuk menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen bagi menjadikan perkhidmatan parlimen berasingan daripada perkhidmatan awam dan ini akan dimuktamadkan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” tambah Fadillah. -TVS