KUALA LUMPUR, 28 Feb: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan pelbagai program terapi di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam usaha pemulihan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa sama, kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di PPDK juga sentiasa dipastikan dalam keadaan baik untuk keselesaan pelatih.
Kata beliau, selain terapi muzik, PPDK turut menawarkan Terapi Berkuda, Pet- Therapy, Hydro-Therapy, Art-Therapy, Terapi Snoezlan dan Terapi Pasir untuk rawatan OKU.
“(Bagaimanapun) tidak semua PPDK menyediakan perkhidmatan terapi yang disebut kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti kepakaran petugas, kemudahan yang ada serta tahap ketidakupayaan pelatih.
“Namun sekurang – kurangnya pelatih mempunyai akses dan menerima terapi asas untuk perkembangan dan pembangunan diri masing – masing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (Barisan Nasional – Paya Besar) yang ingin tahu inisiatif serta fasiliti disediakan oleh kementerian untuk membantu pemulihan OKU di PPDK.
Sementara itu, Nancy memaklumkan, antara fasiliti dan aktiviti yang disediakan untuk pelatih di PPDK termasuk Aktiviti Kehidupan Harian (ADL), Kemahiran Motor Kasar dan Kemahiran Motor Halus, Perkembangan Sosial dan Bahasa, Pengurusan diri, aktiviti 3M (membaca, menulis dan mengira) dan latihan vokasional.
Dalam pada itu beliau turut memberitahu,lawatan secara fizikal ke PPDK diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi tujuan audit secara rambang. -TVS