Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Julaihi Narawi (dua kanan) berkata Sarawak mahu mempercepatkan ketersambungan Internet, terutamanya di kawasan luar bandar. Foto: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi.

MWC 2023: Sarawak cari kemajuan teknologi baharu tingkatkan ketersambungan di kawasan luar bandar

BARCELONA (Sepanyol), 28 Feb: Kerajaan negeri Sarawak giat mencari kemajuan teknologi baharu yang ditonjolkan semasa Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2023 di sini untuk meningkatkan ketersambungan dan mengurangkan jurang digital, terutamanya di kawasan luar bandarnya.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata delegasi kementerian berharap dapat mewujudkan portfolio hubungan yang kukuh dan mencari potensi kerjasama untuk turut serta membangunkan sektor telekomunikasi di negeri ini.

“Kami mahu mempercepatkan ketersambungan Internet kami, terutamanya di kawasan luar bandar di Sarawak, dengan transformasi digital adalah elemen penting ke arah mencapai sasaran kami untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Jika kami dapat mengenal pasti penyelesaian baharu dan berkesan serta teknologi baharu di sini yang boleh kami laksanakan, kami akan membawanya pulang dalam usaha mempercepatkan agenda transformasi digital di Sarawak,” katanya kepada Bernama di luar acara MWC 2023.

Seramai 25 perwakilan kementerian dan agensi berkaitan yang terlibat secara langsung dalam proses transformasi digital di Sarawak hadir dalam MWC edisi tahun ini.

“Delegasi kami akan didedahkan kepada ketersambungan dan inovasi digital serta teknologi terkini yang dipamerkan oleh ramai pemain industri dan profesional di sini.

“Ini akan sangat membantu perwakilan dalam menambah baik rancangan pembangunan ketersambungan Sarawak, untuk mengetahui penyelesaian penting bagi menutup jurang digital dan ketersambungan kami, serta untuk membangunkan rancangan masa depan yang selari dengan teknologi dan trend terkini,” kata Julaihi.

Antara yang menarik minat delegasi di kongres itu ialah teknologi canggih 5G, pendigitalan luar bandar, teknologi gentian dan menara terkini, dan sistem stesen platform altitud tinggi.

Sementara itu, Julaihi berkata, kerajaan negeri telah bekerjasama rapat dengan pemain industri utama seperti Huawei Technologies untuk manfaat perjalanan transformasi digital Sarawak.

“Syarikat berkaitan kerajaan negeri kami, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah lama bekerjasama dengan Huawei Technologies dalam memperoleh peralatan telekomunikasi mereka untuk digunakan dalam pembangunan sambungan digital kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami juga mempelawa mana-mana pemain industri utama lain yang boleh menawarkan teknologi mereka untuk bekerjasama dengan kami semasa acara ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan