KUCHING, 28 Feb: Kuching City FC memberi tiket percuma kepada peminat bola sepak di seluruh Sarawak bagi menyaksikan perlawanan Liga Super 2023 pasukan tersebut yang akan menentang Selangor FC di Stadium Negeri, Petra Jaya, pada jam 8.15 malam Khamis ini.
Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tiket percuma itu sebagai tanda kesyukuran dan apresiasi kepada semua penyokong dan peminat bola sepak tempatan yang sentiasa memberi sokongan kepada Kuching City FC.
‘Sebanyak 13,000 keping tiket akan diedarkan dengan 1,500 tiket untuk tempat duduk berbumbung dan sebanyak 11,500 tiket untuk kawasan terbuka.
“Tiket itu boleh didapati di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Rabu ini mulai jam 10 pagi sehingga jam 3 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiket percuma berkenaan terhadap sebanyak lima keping untuk seorang sahaja.
“Bagaimanapun, kepada pemenang tiket percuma pertandingan di Cats FM serta yang telah membuat tempahan secara online boleh menebus tiket bagi perlawanan Kuching City FC menentang Sabah FC pada 6 Mac ini.
“Penonton juga diminta untuk datang awal ke stadium dan tidak membawa barang larangan seperti air botol plastik ke dalam stadium kelak,” -TVS