MIRI, 28 Feb: Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Toyota yang dipandunya terbabas lalu terbalik ke bahu jalan dalam kejadian di Jalan Miri Bypass berhampiran Shell Pujut di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, mangsa Kadom Temban,38, disahkan meninggal dunia oleh pasukan Paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) sejurus tiba di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam insiden itu mangsa didapati tidak sedarkan diri dan tersepit di bawah bumbung kenderaan yang terbalik.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Lopeng menurut PGO dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa daripada bawah kenderaan.
“Pasukan kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak polis dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.”
“Pasukan turut memastikan operasi dalam keadaan selamat di tempat kejadian sebelum bertolak balik ke balai,” katanya operasi ditamatkan pada jam 3.55 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujar beliau. -TVS