Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara barang kawalan yang disita dari sebuah stor tidak bernombor. Foto: KPDN Sabah

KPDN Sabah rampas 17,195 liter minyak diesel RM93,660

KOTA KINABALU, 28 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah merampas sebanyak 17,195 liter minyak diesel bernilai RM93,660 serta alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dalam satu serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kionsom, Inanam, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Negeri, Gerogie Abas berkata, pasukan telah menjumpai minyak diesel di dalam lori tanker, skid tank dan tong drum dalam serbuan jam 5.20 petang itu.

“Alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu sebuah lori tanker, electronic pump dan hos juga turut disita.

“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Menurut Georgie, risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal daripada pemilik stor di tempat kejadian, barang kawalan tersebut diperoleh daripada pembekal diesel industri yang sah.

“Bagaimanapun, kedua-dua pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Georgie berkata, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa lesen.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Menurut Georgie, KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan