SARIKEI, 28 Feb: Pembantu Pendidikan Masyarakat Sukarela (PPMS) Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menzahirkan perasaan syukur dan gembira berikutan kenaikan elaun yang bakal dinikmati mereka pada 1 Mac ini.
Bagi Rabiah Razali mewakili PPMS, perkara tersebut merupakan satu pengiktirafan besar daripada kerajaan, berita gembira itu juga dianggap sebagai pencetus motivasi untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada jabatan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada KEMAS dan kerajaan Malaysia kerana telah memberi elaun tambahan kepada PPMS. Berita gembira ini dapat menjadi penyuntik semangat kepada kami semua untuk lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas kami sebagai PPMS,” katanya semasa ditemui TVS.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan elaun bagi PPMS akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM800 sebulan, mulai Mac depan.
Menurutnya, kenaikan elaun kepada 9,439 PPMS di seluruh negara itu melibatkan tambahan peruntukan RM30 juta melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.
Bagi Samabo Changieng dan rakan-rakannya, tanggungjawab PPMS juga tidak kurang penting dalam menjaga keselamatan kanak-kanak sebelum, semasa dan sehingga tamat sesi pengajaran dan pembelajaran di Tabika mahupun Taska.
“Dahulu, saya bersekolah di Tabika KEMAS dan sekarang saya berkhidmat di sini juga. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KEMAS dan kerajaan Malaysia kerana telah memberikan elaun tambahan kepada PPMS. Berita baik ini membuatkan saya lebih rajin lagi bekerja dalam menjalankan tugas. Saya sangat bersyukur dengan berita baik ini. Terima kasih,” kata Samabo.
“Saya mewakili PPMS Taska Kemas mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan KEMAS kerana telah menambah elaun PPMS. Saya akan lebih berdedikasi lagi dalam bekerja,” kata Dorathy Robert.
“Saya juga ingin mewakili PPMS, ingin berterima kasih dengan kerajaan Malaysia dan KEMAS kerana telah menambah elaun kami semua. Saya berasa terharu menerima berita baik ini dan ia membuatkan kami lebih bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab kami,” kata Franmyler Youros.
Dalam pada itu, langkah proaktif yang membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta itu juga dilihat sebagai sebahagian usaha untuk membantu meringkankan kos sara hidup PPMS. -TVS