KUCHING, 27 Feb: Institut Pengajian Tinggi disarankan menambah bidang akuakultur ke dalam silibus pengajian kerana ia mempunyai masa depan yang cerah, kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah itu berkata bidang tersebut bersifat sangat lokatif serta harus diberi perhatian.
“Ternakan udang sudah dilakukan sekali gus dengan pengeksportan ke negara luar jadi saya berharap silibus dan pendekatan baharu ini harus dipertekankan.”
“Kita telah memperkenalkan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Rambungan dan Batang Ai. Namun saya masih lagi belum melihat golongan bumiputera samada perempuan dan lelaki yang menjadikannya sebagai perniagaan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Konvokesyen ke-17 Institut Pertanian Sarawak di Semongok pada Isnin.
Mengulas mengenai pengajian, beliau berkata selain bidang akuakultur ini akan ditambah dalam silibus pengajian selain bidang landskap, ternakan dan sebagainya.
“Kita akan meneruskan pengajian seperti ini disini dengan mengubah sedikit pendekatan agar bersesuaian dengan ambang Revolusi Industri 4.0 demi menghasilkan mutu yang tinggi dan hasil yang baik merangkumi seluruh masyarakat.”
“Dengan pendekatan baharu, saya percaya kita akan dapat mengaplikasikan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk yang saya harap dapat menjadi pengeksport makanan menjelang 2030,” katanya lagi.
Dalam masa sama, mengulas mengenai peruntukan Belanjawan 2023, beliau berharap peruntukan akan dapat dipertingkatkan agar misi kerterjaminan makanan dapat dicapai.
“Dengan peruntukan yang setimpal dengan misi, Sarawak boleh menjadi pengeksport makanan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030),” tegasnya.
Terdahulu, majlis menyaksikan seramai 91 orang graduan sesi 2020/2022 yang telah menamatkan pengajian selama dua tahun di Institut Pertanian Sarawak dengan rekod 100 peratus pelajar telah mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 3.0 dan ke atas dan daripada jumlah tersebut, 29 peratus telah mendpaat PNGK 3.5 ke atas.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat. –TVS