MATU, 28 Feb: Sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sekaan Besar di sini, dilanda banjir selepasĀ dinaiki air akibat hujan berterusan sejak Sabtu lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu, Jumaat Akasas berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, mendapati ketinggian air di kawasan rumah itu pada paras 0.43 meter yang menjejaskan sembilan penghuni rumah tersebut.
Katanya, penghuni rumah berkenaan tidak dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana banjir hanya melibatkan rumah tingkat bawah bukan ruang utama.
“Bagaimanapun, beberapa kawasan kampung menunjukkan paras air menurun dan ada beberapa kawasan kampung paras air naik.
“Beberapa kampung di daerah Matu mula mengalami peningkatan paras air akibat hujan lebat yang berlaku sejak Sabtu lepas sehingga semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kawasan yang telah dinaiki air di daerah Matu ialah Kampung Jemoreng, Kampung Sekaan Besar, Kampung Bertong Matu, Kampung Bawang, Kampung Sekaan Kecil, Kampung Tian dan Kampung Taman Sejahtera dengan paras air berada pada ketinggian 0.43 meter.
“Kampung Sekaan Kecil, Sekaan Besar dan Kampung Bertong paras air makin naik ekoran limpahan air dari kawasan bahagian hulu. Kita menasihati penduduk kampung supaya sentiasa berwaspada dengan cuaca semasa,” ujarnya. -TVS