KUCHING, 27 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap kaedah pelantikan kakitangan penjawat awam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ditambah baik.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di sini, hari ini.
“Premier memberikan pandangan dalam kita melantik pegawai-pegawai awam ini. Kita melantik yang terbaik terutamanya kalau ada mereka yang mempunyai kelulusan dari beberapa buah universiti ternama, harus diberi peluang untuk memasuki sektor awam,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menjelaskan mengenai kaedah pengambilan kakitangan awam yang melibatkan proses temuduga untuk lantikan pertama, menilai pemikiran calon, mengenal pasti kebolehan, kompetensi dan keupayaan mereka untuk bersedia menjadi anggota perkhidmatan awam.
Pada masa sama, beliau juga berkongsi fungsi dan peranan SPA Persekutuan dan cadangan untuk bekerjasama dengan SPA Negeri Sarawak.
Katanya, Sarawak maju terutama dari segi pendigitalan serta kesediaan negeri untuk membangunkan beberapa aspek.
“Dengan pembangunan Kota Nusantara (ibu kota negara Indonesia baharu) yang sedang bergiat maju, harapan Premier adalah agar Sarawak dapat meneroka bidang-bidang berkaitan dengan perdagangan antara sempadan negara dan sebagainya selain daripada menumpukan projek-projek pembangunan sahaja,” tambahnya lagi.
Turut serta, Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Seri Jalil Marzuki dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr Abdullah Zaidel.
Tujuan kunjungan hormat adalah untuk berkongsi pengalaman SPA Persekutuan dalam mengurus tadbir selain mendapatkan pandangan bagi memperkasakan lagi sektor perkhidmatan awam. – TVS