SARIKEI, 27 Feb: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu memperjelaskan kepada rakyat jika timbul sebarang permasalahan atau isu di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah itu sejajar dengan peranan penting mereka sebagai telinga dan mata kerajaan di peringkat akar umbi.
“Bagi isu kebakaran, keselamatan, kesihatan dan sebagainya, kita sudah mempunyai struktur yang lengkap di Sarikei. Apabila ada masalah elektrik, kemalangan dan sebagainya, Yang Berhormat (YB) yang selalu dipersalahkan. Kita boleh mendapatkan bantuan daripada pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Daerah Sarikei dan banyak lagi.
“Oleh sebab itu, kita sebagai KMKK harus memperjelaskan kepada rakyat di bawah naungan atau jagaan masing-masing mengenai maklumat-maklumat di mana bantuan dapat dijalankan apabila berlaku sebarang permasalahan,” katanya ketika merasmikan Siri Taklimat dan Perjumpaan Bersama KMKK, JKKK dan KRT anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.41 Kuala Rajang di Dewan Suarah Sarikei, semalam.
Beliau menegaskan, pemimpin harus meletakkan diri dalam kalangan orang yang boleh dipercayai, mampu membawa suara rakyat ke tengah dan berupaya menjana kelancaran aktiviti di peringkat setempat.
Malah katanya, kerjasama mereka amat dituntut dalam menjadi jurucakap bagi memperjelas atau membela usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Untuk memahami tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin adalah penting supaya kita tahu daripada bahagian mana kita dapat membuat keputusan kerana di peringkat akar umbi ini iaitu apa yang kita panggil mata dan telinga kerajaan untuk memastikan apa-apa isu yang timbul, isu kebajikan, keselamatan, ekonomi dan sebagainya, haruslah dibawa ke peringkat yang lebih tinggi lagi kerana di peringkat KMKK, kita tidak dapat membuat keputusan,” katanya lagi. – TVS