KOTA KINABALU, 27 Feb : Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah bangunan hotel di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 12 tahun itu dipercayai terjatuh sehingga tingkat 5 bangunan dalam kejadian pada jam 6.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 pagi melalui talian kecemasan 999.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa terjatuh dari tingkap tingkat 14 ke beranda tingkat lima hotel berkenaan.
“Pasukan bertugas kemudian menjalankan operasi membawa turun mangsa ke bawah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 7.53 pagi,” katanya. – TVS