KOTA SAMARAHAN, 27 Feb: Projek pembinaan bangunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dijangka siap pada Julai ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pembinaan yang memakan kos RM15 juta itu kini sudah mencapai 62 peratus siap.
“Progres pembinaan bangunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak berjalan dengan lancar dan memuaskan dan juga saya telah berbincang dengan kontraktor untuk mencari jalan serta mengetahui bagaimana ia memastikan projek ini dapat disiap tepat pada masanya.
“Projek ini dibina pada 24 September 2020 iaitu pada tiga tahun lalu dan kini sudah sudah siap 61.7 peratus. Kita jangka ia akan siap dibina pada Julai ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, walaupun projek pembinaan ini mengalami kelewatan berbanding jadual pada Januari dan bulan ini berikutan cuaca yang tidak menentu, namun Uggah optimis projek berkenaan akan siap mengikut jadual.
Uggah juga merayu kepada semua kontraktor untuk menunaikan amanah sebaiknya dan berbincang dengan kerajaan jika menghadapi sebarang permasalahan yang mungkin menyebabkan projek terjejas.
“Sebenarnya, kami amat sedih jika kami terpaksa menamatkan mana-mana projek (jika tidak siap) kerana kami berharap kontraktor yang mengambil alih projek itu untuk menyiapkan projek dengan mengikut jadual.
“Kami dapat menjana ekonomi melalui projek yang dilakukan namun apabila ia gagal, maka ia akan memberi banyak impak besar termasuk penggantungan lesen dan sebagainya dan oleh itu saya merayu kepada kontraktor untuk cuba buat yang terbaik dan siapkan projek mengikut jadual,” katanya. – TVS