Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Aaron Ago Dagang ketika hadir merasmikan Program Harmoni Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. Foto: Saufi

Program Harmoni platform cari titik persefahaman, semai keharmonian – Aaron

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 26 Feb: Program Harmoni yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) merupakan platform untuk mencari titik persefahaman antara kumpulan agama dan pada masa sama menyemai keharmonian antara etnik-etnik, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, program tersebut salah satu inisiatif kerajaan dalam menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan etnik.

“Program Harmoni ini diadakan bersempena dengan minggu keharmonian antara agama sedunia yang disambut minggu pertama bulan Februari setiap tahun. Ia merupakan platform untuk setiap penganut agama berkumpul untuk meningkatkan persefahaman, tolerasi serta menjalinkan hubungan kerjasama antara satu sama lain.

“Pada masa sama, program ini juga sebenarnya meraikan salah satu kekuatan terbesar yang dimiliki Malaysia iaitu kepelbagaian masyarakat,“ katanya ketika berucap merasmikan Program Harmoni 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuching, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato Indera Noridah Abdul Ibrahim.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, penganjuran program yang bertemakan Malaysia MADANI Dalam Pelbagai Agama itu adalah usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kesejahteraan seluruh rakyat.

Tambahnya, beliau berharap program kerjasama strategik antara kementerian khususnya penglibatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelbagai kaum dan agama itu dapat diperluaskan kerana ia memberikan sumbangan kepada kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, rata-rata penganut agama yang ditemui menyambut baik penganjuran program tersebut di negeri ini.

Menurut Presiden Kuil Hindu, V Sahundaraju, beliau memuji inisiatif yang diambil pihak KPN yang memperkenalkan program tersebut yang mana ia dapat membantu mengeratkan silaturahim antara bangsa dan agama yang berlainan.

“Sangat bagus kerana kita semua boleh duduk bersama dan program macam inilah yang membantu mengeratkan perpaduan antara masyarakat. Kalau program ini dapat diteruskan adalah baik,“ ujarnya.

Turut senada, wakil Persatuan Penganut Agama Buddha Amitabha Ming De Kuching, Lui Siew Peng yang menyifatkan program tersebut memberi manfaat yang besar dalam memupuk perpaduan kaum terutamanya di Sarawak.

“Walaupun program ini berlangsung dalam tempoh yang singkat, tetapi ia mempunyai impak yang besar dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum dan juga agama.

“Saya rasa program ini perlu dikekalkan dan dianjurkan dengan lebih kerap,“ katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan