Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hospital Umum Sarawak (HUS) merupakan Hospital Pakar Negeri yang berkapasiti 1,009 katil rasmi.

Pesakit bukan kecemasan diminta dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan

BySalasiah Safian

KUCHING, 26 Feb: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak meminta orang awam dan pesakit bukan kecemasan untuk mendapatkan rawatan dengan cepat dan mudah di Klinik Kesihatan berhampiran.

Pengarahnya, Dr Ooi Choo Huck berkata, ia secara langsung membantu pesakit kes kecemasan dirawat dengan lebih rapi oleh petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesakit bukan kecemasan yang datang di ETD HUS, masih juga akan dirawat oleh petugas perubatan, namun tempoh menunggu untuk diperiksa akan mengambil masa yang lebih panjang dan lama berbanding dengan perawatan di Klinik Kesihatan.

“Ini memandangkan pihak ETD HUS perlu memberikan keutamaan perawatan bagi pesakit
kes kecemasan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media mengenai isu notis pemakluman kepada orang ramai mengenai kesesakan di ETD HUS termasuk usaha memindahkan kes bukan kecemasan ke Klinik Kesihatan berdekatan, notis pemakluman berkenaan telah dipaparkan bermula 22 Februari 2023.

Jelasnya, pesakit bukan kecemasan boleh mendapatkan rawatan di enam buah Klinik Kesihatan utama yang terdapat di bandaraya Kuching iaitu Klinik Kesihatan  Jalan Masjid, Klinik Kesihatan Tanah Puteh, Klinik Kesihatan Batu Kawa, Klinik Kesihatan Kota Sentosa, Klinik Kesihatan Petra Jaya dan Klinik Kesihatan UTC Kuching.

“Turut terdapat dua buah fasiliti kesihatan yang telah dinaik taraf iaitu Klinik Kesihatan Taman Malihah
dan Klinik Kesihatan Pantai Damai. Selain itu, terdapat enam buah Klinik Komuniti (KKom) Demak Laut, KKom Matang, KKom Tabuan Jaya, KKom Stutong, KKom Batu Kawa dan KKom Kota Padawan.

“Semua klinik tersebut mempunyai Pegawai Perubatan yang berupaya memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Klinik Kesihatan beroperasi pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang. Bagi KKom pula dibuka pada setiap hari dan beroperasi dari jam 11 pagi sehingga 8 malam (kecuali KKom Batu Kawa beroperasi dari jam 10 pagi sehingga 7 malam; rehat pada jam 1 hingga 2 petang).

“Bagi KK UTC Kuching pula, masa operasi klinik adalah mengikut waktu operasi UTC Kuching, iaitu dari jam 8 pagi sehingga 7 malam (Isnin hingga Jumaat) dan dari jam 8 pagi sehingga 5 petang (Sabtu dan Ahad). Semua Klinik Kesihatan dan KKom tidak beroperasi pada hari cuti umum,” katanya.

Katanya, HUS merupakan Hospital Pakar Negeri yang berkapasiti 1,009 katil rasmi dan merupakan Lead Hospital bagi Hospital Kluster Sarawak Selatan, manakala Hospital Non-Lead bagi Hospital Kluster Sarawak Selatan ialah Pusat Jantung Sarawak (PJS), Hospital Rajah Charles Brooke Memorial (RCBM), Hospital Bau, Hospital Lundu, Hospital Serian, Hospital Simunjan dan Hospital Sentosa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan