KUCHING, 26 Feb: Kejayaan membawa pulang tiga mata penuh pada perlawanan sulung Liga Super 2023 semalam ternyata memberi tonik berharga kepada skuad The Cat untuk terus mencabar kedudukan terbaik musim ini.
Lebih menarik, skuad bimbingan Ifran Bakti Abu Salim itu melakukan kebangkitan di kubu lawan, apabila menewaskan Kelantan FC 2-1 di Kota Bharu yang pernah menjadi gelanggang mengerikan kepada setiap pasukan yang bertandang ke situ.
Pertahanan kanan pasukan, Arham Khussyairi berkata, keputusan itu membuktikan tiada yang mustahil dalam bola sepak.
“Apa yang boleh saya katakan, semangat berpasukan kami cukup baik kerana tidak mudah mengalah dan bermain sebagai satu pasukan sepanjang 90 minit,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Aksi pada sebelah petang di Stadium Sultan Muhammad IV itu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Miguel Cifuentes pada minit ke-51 untuk memberi kelebihan kepada tuan rumah.
Kuching City FC bangkit menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian hasil jaringan Abdallah Sudi.
Penjaring terbanyak Liga Premier tahun lepas lepas, Abu Kamara terus membuktikan ketajaman di depan gawang apabila meledak gol kemenangan Kuching City FC pada minit ke – 71 dan keputusan itu kekal hingga tamat aksi.
Sementara itu, Arham berkata, kemenangan semalam juga tidak semudah yang disangka kerana tuan rumah memberi tekanan pada 45 minit awal.
“Masuk separuh masa kedua, kami mula melakukan high pressing dan mengikut tektikal yang diarahkan jurulatih.
“Alhamdulillah ini hasil kerjasama semua termasuk yang berada di luar padang,” katanya.
Selepas Ini Kuching City FC akan bertemu Selangor di tempat sendiri pada Rabu sebelum menanti kunjungan pendahulu liga, Sabah pada aksi ketiga. – TVS