Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain Pasukan Perak, Seo Seonung (kiri) mengawal bolak ketika bertemu pasukan Kedah FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Perak, Ipoh. Foto: Bernama

Liga Super: Dua kad merah matikan rentak Perak

ByBernama

IPOH, 26 Feb: Layangan dua kad merah mematikan rentak Perak FC dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Perak, malam tadi, yang menyaksikan skuad itu tumbang 1-4 kepada Kedah.

Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim mengakui insiden itu memberi kesukaran kepada pemainnya untuk memberi saingan dan mengimbangi corak permainan yang ditampilkan oleh Kedah.

“Kekurangan pengalaman, terlalu banyak memberi ruang kepada pemain lawan untuk mengatur gerakan dan serangan juga antara sebab kita tewas.

“Walaupun keputusan ini sukar nak ditelan namun saya akui para pemain telah bermain bersungguh-sungguh dan menunjukkan semangat melawan yang baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan tersebut, Ahmad Haziq Ahmad Puad dilayangkan kad merah oleh pengadil Zulkarnain Zakaria selepas menerima kad kuning kuning kedua pada minit ke-36 kerana mengasari pemain tengah Kedah dari Tajikistan Amirbek Juraboev, manakala nasib sama turut menimpa pemain dari Nigeria Sunday Afolabi yang melakukan rempuhan kasar terhadap Manuel Hidalgo pada minit ke-78.

Sementara itu, empat gol Kedah disumbangkan oleh Lee Tuck pada minit ke-21 dan penyerang import dari Brazil Willian Sousa pada minit ke-67.

Pemain pertahanan Muhammad Arif Farhan dan penyerang dari Brazil Johnathan Dos Reis, masing-masing meledakkan gol pada minit ke-84 dan ke-90.

Gol pasukan tuan rumah pula dijaringkan oleh pemain tengah Mohamad Ikwan Hafizo pada minit keempat.

Teong Kim berkata, kekalahan skuad The Bos Gaurus itu menjadi iktibar dan pembakar semangat kepada pemain untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memburu kemenangan.

“Masih banyak perlawanan lagi untuk diharungi dan kita mempunyai masa untuk memperbaiki segala masalah dan kelemahan pasukan,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kedah FC Nafuzi Zain berkata, walaupun pasukannya berjaya menggenggam tiga mata penuh namun semangat yang dipamerkan oleh pasukan Perak wajar diberi pujian.

“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan tuan rumah kerana walaupun dibarisi majoriti pemain muda namun mereka mempamerkan satu persembahan yang begitu bertenaga sehingga menyukarkan kami terutama di awal babak permainan,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya juga akan memperbaiki taktikal dan beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti bagi memastikan momentum kemenangan itu dikekalkan dalam aksi menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman pada 1 Mac ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan