Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto: Ihsan RTM

Belanjawan 2023: Insentif majikan beri peluang pekerjaan lebih luas kepada golongan terjejas

ByBernama

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Insentif kepada majikan yang menggaji golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar memberi sinar baharu untuk golongan ini meneruskan kelangsungan hidup.

Penyediaan insentif oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada majikan bagi menggaji golongan berkenaan sehingga RM600 sebulan untuk tiga bulan mendapat reaksi positif daripada golongan ini yang berpendapat sukar untuk majikan menawarkan pekerjaan susulan sejarah hitam mereka.

Bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai N.Jega, 42, dan kini bekerja sebagai pemandu lori berkata, pengumuman kerajaan memberi keyakinan kepada dirinya dan mereka yang senasib dengannya untuk mengubah hidup masing-masing kerana kebiasaannya stigma masyarakat terhadap individu sepertinya tetap tidak akan ‘terpadam’.

“Saya amat kesal dengan perbuatan saya tetapi usaha kerajaan untuk membantu bekas banduan perlu dipuji kerana dapat memberi semangat kepada golongan seperti saya untuk terus meneruskan hidup di luar tirai besi,” kata bapa kepada seorang anak itu yang pernah menjalani hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan dadah.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat berhubung insentif oleh Perkeso turut mendapat sokongan daripada majikan.

Pengarah syarikat pengangkutan Ehsan Jaya Holdings Sdn Bhd Datuk S.Suresh Rao, 47, berkata, insentif itu akan membolehkan majikan mengendalikan kursus atau latihan tertentu untuk golongan tersebut.

“Menggaji golongan itu adalah satu cabaran kepada majikan, ia bukan sesuatu yang mudah. Oleh itu insentif tersebut diharap dapat menggalakkan pihak majikan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada golongan ini,” katanya.

Mengenai pengumuman bagi membantu menangani pengangguran dalam kalangan belia dengan menawarkan 35,000 peluang kerjaya menerusi syarikat berkaitan kerajaan, siswazah universiti swasta, Munirah Rosli berkata, ia memberi keyakinan kepada bakal graduan untuk menjejak kaki ke alam pekerjaan ketika negara masih dalam proses pemulihan susulan pandemik COVID-19.

“Sekarang ini mendapat kerja yang sesuai dengan bidang pengajian amat sukar. Tetapi saya berharap pengumuman kali ini akan memberi ‘cahaya’ kepada bakal graduan untuk menempuh dunia kerja yang penuh cabaran,” katanya.

Dalam pembentangan belanjawan yang dirumuskan sebagai Belanjawan MADANI, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan Perkeso akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya graduan pendidikan teknik dan vokasional (TVET) sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan