KUCHING, 25 Feb: Bermodalkan yuran penyertaan RM100, seorang pemuda, Nizamri Daraduzzaman, 37, tidak menyangka meraih habuan wang tunai RM10,000 selepas dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Memancing Ikan Terbuka 2023 sempena Sambutan Jubli Emas Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) yang diadakan di Tebingan Sungai Lintang, Tanjong dan Sungei Bedil (LTSB) di sini, petang tadi.
Nizamri atau lebih mesra dengan panggilan Ijam di kalangan rakan-rakan berjaya memancing ikan jenis Belida dengan berat melebihi lima kilogram sekitar jam 1.10 petang tadi yang merupakan ikan terberat keseluruhan dalam pertandingan itu.
Menurut Ijam, ini adalah kali pertama dirinya menjadi juara dalam pertandingan memancing meskipun sebelumnya pernah mendapat ikan jenis pari yang beratnya lebih tujuh kilogram
“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana saya menjadi juara dan memenangi wang tunai RM 10,000 ini. Wang ini akan saya gunakan untuk membeli apa-apa sahaja barang keperluan yang diperlukan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu.
Ijam yang masih belum berkahwin berkata, rezekinya pada hari ini adalah berkat doa kedua orang tuanya yang tidak pernah putus.
Program memancing tersebut adalah anjuran SABERKAS kawasan Kampung Lintang, Kelab Memancing TEMAKOL dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Lintang.
Pengerusi SABERKAS Cawangan Samariang yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, Hubungan Negeri – Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali hadir di majlis penutupan pertandingan itu. -TVS